Home   Wordpress   Log in

Archive for the ‘How To’ Category

Puasa Dulu Baru Raya

October 18th, 2006 by admin | 4 Comments | Filed in How To

Sudah 25 hari umat islam sedunia berpuasa… tinggal 5 hari lagi bulan Ramadhan akan meninggalkan kita. Entah kita akan berjumpa bulan ini lagi, hanya DIA yang tahu.

Syukur tahun ini aku tidak diserang tekak kering yang mana akan mengakibatkan pendarahan di dalam tekak seperti tahun-tahun yang sudah. Tetapi, tahun ini berlaku pula kekeringan, kepedihan dan kemerahan dibahagian mata, seperti ada sesuatu di dalam kelopak mata. Untuk melegakannya, aku merehatkan mata aku dengan melebihkan tidur pada hari sabtu dan ahad.

Masih ada orang yang mencari alasan untuk tidak berpuasa seperti tidak boleh mengambil air sembahyang kerana kaki yang luka tidak boleh terkena air. Apa kena mengena puasa dengan sembahyang? Tak sembahyang, tak payah puasa ke? Abis kalau tak puasa, tak payah sembahyang lah….

Alhamdullilah, tahun ini aku belum lagi terlewat bangun sahur. Aku akan bersahur pada jam 4.45 hingga kira-kira pukul 5.15 pagi.

Selepas sahur, aku akan:

1. Mandi dulu sebelum menunggu azan subuh. Selepas sembahyang subuh, terus tidur dan bangun pukul 7.30 pagi. Cuci muka, bersiap untuk ke tempat kerja.

2. Minum segelas lagi kopi 3 dalam 1. Lepas tu otak akan segar sesegarnya sambil menunggu azan. Lepas subuh, tidur lagi, bangun pukul 7 pagi dan terus mandi. 7.30 pagi zoomm terus ke tempat kerja.

3. Kalau hari sabtu dan ahad, lepas subuh, aku akan tidur sampai pukul 11 pagi. Aku akan mengelakkan tidur hingga ke 1 petang, kerana tekak akan menjadi kering dan menjadi gatal. Silap2 akan berdarah.

Persiapan sebelum raya:

1. Zakat fitrah dah bayar… pakai tekan-tekan je.. tekan yang mahal sikit… tak apa… nak bayar cara lama kena beratur panjang…

2. Pergi geylang, cari dendeng… jalan punya jalan terjumpa baju Pakistan - size 44 - SGD 15…

3. Pergi geylang lagi cari capal… size 41 - SGD 20…. Dendeng lagi…

Apa lagi nak beli ek? Rasa takde lah… sebab aku bukan berjalan raya pun….

[odeo=http://odeo.com/audio/2188234/view]
Enjoy lagu dari Raihan ini. Tak jumpa pulak lirik dia…

Cara Rasulullah rai Aidilfitri

October 27th, 2005 by admin | 15 Comments | Filed in How To

Oleh
Muhammad Shabri Abd Majid

KHAMIS ini, menurut takwim hisab, umat Islam di rantau ini akan menyambut Aidilfitri.

Sejarah hari perayaan sebenarnya telah bermula sebelum kedatangan Islam.

Ketika Madinah Al-Munawarrah bernama Yathrib, ia sudah menyambut perayaan.

Menurut Anas ra, tatkala Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, Baginda telah menukarkan dua perayaan dengan dua perayaan yang jauh lebih baik, iaitu Aidilfitri (Hari Raya Puasa) dan Aidiladha (Hari Raya Haji atau Korban).

Hadis dan riwayat sahabat menceritakan cara Rasulullah menyambut kedatangan Aidilfitri, antaranya:

Bersolat hari raya secara berjemaah

Rasululllah saw sentiasa melaksanakan solat hari raya secara berjemaah di padang atau lapangan terbuka.

Ini akan memberi kemudahan dan kesempatan kepada kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat hari raya kerana uzur untuk mendengar pesanan dan nasihat Rasulullah saw yang disampaikan melalui khutbah hari raya.

Sayidina Jabir bin Abdullah ra mengisahkan:

'Saya telah bersama Rasulullah saw dalam majlis solat hari raya.

'Baginda memulakan solat sebelum berkhutbah tanpa didahului oleh azan dan iqamat.

'Setelah selesai solat, Ba ginda langsung bangun dengan tiada berpaut kepada Sayidina Bilal lalu berkhutbah menyeru umatnya takut dan bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan pelbagai suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.

'Seterusnya, Baginda memberi beberapa nasihat dan teguran kepada majlis hari raya itu. Kemudian, Baginda berjalan ke tempat solat kaum wanita sambil memberi beberapa nasihat dan teguran.'

Pergi dan balik dari tempat solat hari raya melalui jalan yang berbeza

Tatkala pergi dan balik dari tempat solat hari raya, Rasulullah sentiasa pergi dan balik melalui jalan yang berlainan, menurut Jabir ra (Hadis riwayat Bukhari).

Apakah sebab Rasulullah berbuat demikian?

Tujuan beliau tentulah dapat bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza. Baginda bersalam-salaman, memohon maaf zahir dan batin.

Membawa serta isteri dan anak-anak ke tempat solat hari raya

Ketika melaksanakan solat hari raya, Rasulullah saw sentiasa membawa serta isteri dan anak-anaknya.

Isterinya, Siti Aisyah ra, mengisahkan:

'Kami disuruh supaya keluar dan begitu juga dengan wanita haid pada kedua-dua hari raya untuk mendapatkan kebaikan dan doa orang-orang Islam. Walau bagaimanapun, wanita haid duduk jauh dari tempat sembahyang.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jamah makanan sebelum ke masjid

Ketika Ramadan berlalu dan Aidilfitri tiba, umat Islam telah kembali dibolehkan makan dan minum pada siang hari.

Rasulullah saw memakan beberapa biji kurma sebelum Baginda berangkat ke tempat solat hari raya, menurut Anas ra (Hadis riwayat Bukhari).

Ertinya, usahlah makan terlampau banyak sehingga menyusahkan diri sendiri, terutama ketika mendirikan solat.

Juga, kita tidak digalakn memakan makanan yang pedas-pedas.

Dari segi kesihatan, perut kita baru saja berehat dan tidak perlu disogokkan makanan yang tidak sesuai atau berlebihan. Mentelah, Rasulullah ada menegur sahabat yang berperut gendut (buncit atau gemuk).

Berpakaian cantik untuk menunaikan solat

Rasulullah saw sentiasa berpakaian baru, kemas dan indah ketika melaksanakan sembahyang Aidilfitri.

Sebelum itu, Baginda selalu mandi terlebih dahulu dan kemudian memakai sedikit wangi-wangian, menurut riwayat Ibnu Qayyim al-Jauziyah.

Berbanyak bacaan takbir

Sejak malam hari Aidilfitri sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya, umat Islam disunatkan memperbanyak bacaan takbir, sebagai maksud firman Allah swt:

'Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.' (Al-Baqarah: 185)

Menurut Umar ra dan Ibnu Mas'ud ra bahawa bacaan takbir yang lazim dibaca Rasulullah adalah: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illalahu Wallahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil-Hamd.

Berbalas salam

Apabila bertemu, para sahabat Rasulullah sentiasa memberi dan menjawab ucapan salam hari raya dengan berkata: Taqabbalallahu Minna wa Minkum (Semoga Allah menerima segala kebaikan kami dan kebaikan kamu) (Hadis riwayat Ahmad).

Saat akhir zakat fitrah dan sedekah

Zakat fitrah adalah suatu tanggungjawab sosial yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam sekali setahun pada bulan Ramadan.

'Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah, segantang daripada tamar atau segantang daripada gandum ke atas setiap hamba, lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan ke atas orang tua daripada kaum Muslimin.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini secara tersirat mendorong kita menunaikan zakat sepanjang Ramadan dan sebelum solat Aidilfitri dan memperbanyak sedekah pada hari raya.

Semoga amalan Ramadan kita mendapat ganjaran Allah dan Aidilfitri menyongsong kehidupan yang penuh bermakna.

Nota: Penulis ialah pensyarah ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.

http://cyberita.asia1.com.sg/