Gita Gutawa New Album
July 5th, 2007 by admin | No Comments | Filed in NewsZon Muzik…
ALBUM: Gita Gutawa
ARTIS: Gita Gutawa
GENRE: Pop Klasikal
RAMAI tertanya siapa gadis kecil molek yang diberi kesempatan untuk beraksi di samping penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza dan Taufik Batisah pada malam Anugerah Planet Muzik 2007, awal bulan lalu.
Namun sebaik dia mengalunkan suara, vokalnya membuatkan ramai yang kagum dengan kehebatan nyanyiannya yang begitu teknikal itu. Siapa Gita Gutawa? Mewarisi darah seni daripada bapanya yang juga pemuzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa, namanya mengharum apabila lagu duet yang dirakamkan bersama Donny (Ada Band) menjadi hit dan dijual melebihi 850,000 unit.
Kejayaan itu membawa Gita dan Donny untuk menerima pencalonan Duet Pop Terbaik, Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2005. Vokalnya yang diasah di bawah asuhan Aida Swense dan Catherine Leimena, memutikkan keyakinan untuk dia merakamkan album sulungnya itu pada usia 14 tahun.
Diterbitkan bapanya sendiri, album yang dirakamkan di Jakarta itu diadun sepenuhnya di Sydney, Australia. Ia membuktikan kesungguhan Erwin untuk memberikan yang terbaik kepada puteri kesayangannya itu.
Sesuai usianya yang meniti remaja, album ini tidak lagi berlegar kepada lirik berunsur kanak-kanak. Kecenderungannya untuk membicarakan isu yang kerap dibangkitkan remaja memperluaskan pasaran album ini.
Meskipun ini usaha pertamanya, Gita agak bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada nama terkenal seperti Glen Fredly, Melly Goeslaw, Dewiq dan Eross Chandra yang memberikan sentuhan mereka.
Beralih irama daripada balada kepada muzik ‘upbeat’ yang menceriakan, Gita berjaya memberi warna kepada setiap ciptaan. Antara lagu menarik ialah Kembang Perawan, Bila, Bukan Permainan dan Do Be Do.
KATA HIP:
PRODUKSI terbaik tetapi ia mungkin mengambil masa yang agak lama untuk memikat hati pendengar tempatan. Nyanyiannya begitu berkarakter dan Gita menggunakan semua kelebihan yang dimiliki untuk membuktikan bakatnya bukan picisan. Sayang jika album ini tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak tertentu.
http://www.bharian.com.my/

