Home   Wordpress   Log in

Archive for the ‘The Book’ Category

Perkara makruh semasa makan

April 13th, 2007 by admin | No Comments | Filed in The Book

Oleh
Ustaz Abdul Rahman Mohamed

SETELAH kita mengenal adab-adab makan yang dianjurkan oleh Islam dan hikmah di sebaliknya, minggu ini kita tinjau pula perkara-perkara yang makruh dilakukan semasa makan.

Namun sebelum itu, kita perlu kenal apakah yang dimaksudkan makruh dalam Islam. Makruh bermakna sesuatu yang dibenci Allah.

Perkara-perkara yang dimakruhkan semasa makan:

Memulakan makan tanpa membaca apa-apa kalimat Allah

Manusia yang tidak membaca apa-apa kalimat Allah adalah manusia yang lupa kepada Allah dan berani makan apa sahaja tanpa mengira halal atau haram.

Makan berdiri

Rasulullah saw melarang kita makan dalam keadaan berdiri kerana ia tidak mencerminkan adab yang baik dan mereka yang makan berdiri tidak dapat memberi tumpuan kepada makanannya.

Islam mahu agar semasa makan, kita dapat memberi tumpuan kepada makanan supaya kita dapat membuang kotoran yang mungkin termasuk dalam makanan dan menikmati makanan sambil berasa bersyukur dengannya.

Makan sambil bersandar

Sabda Rasulullah saw: ‘Jangan kamu makan dalam keadaan bersandar.’

Makan cara ini bertentangan dengan hikmah Islam yang menggalakkan makan dengan keadaan duduk di lantai. Apabila bersandar, perut terdedah tanpa ada sekatan dan kawalan untuk makan juga tidak dapat terlaksana.

Makan dengan tangan kiri

Sabda Rasulullah saw: ‘Jangan makan dengan tangan kiri, sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya.’

Kita memang diajarkan membuat perkara-perkara yang kotor seperti beristinjak dengan tangan kiri. Jika adab ini diamalkan, tentu kita dapat menjauhkan diri daripada segala macam penyakit yang boleh merebak melalui najis seperti Aids, Sars dan hepatitis.

Meniup minuman dan makanan yang panas

Nafas yang keluar daripada mulut manusia terdiri daripada udara yang tidak baik, maka dikhuatirkan kuman yang terkandung dalam tiupan itu akan masuk ke dalam minuman dan makanan hingga memudaratkan kesihatan kita atau orang lain yang memakan atau meminum minuman itu, seperti anak-anak.

Terlalu kenyang

Rasulullah saw bersabda: ‘Sesungguhnya orang yang banyak kenyang di dunia akan menjadi orang yang paling banyak lapar di akhirat.’

Tambahan pula, orang yang biasakan diri dengan hidup terlalu kenyang akan menjadi manusia yang lalai daripada kelaparan orang lain.

Membuang atau membazir makanan

Sifat membazir adalah sifat syaitan. Firman Allah swt yang bermaksud:

‘Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan.’

Keterlaluan dalam pembaziran makanan bukan sahaja makruh bahkan boleh sampai kepada perbuatan haram.

Semoga siri bimbingan ini dapat memberi manfaat ke arah menghidupkan kembali budaya Islam dalam kehidupan harian. Hadis-hadis dipetik daripada kitab Sunan Ibnu Majah.

Nota: Penulis adalah konsultan agama.

http://cyberita.asia1.com.sg/

Cara menundukkan syaitan

March 9th, 2007 by admin | No Comments | Filed in The Book

Oleh
Masruhan Kyai Choteb Al-hafiz

SESUDAH menerima laknat Allah swt kerana enggan sujud kepada Nabi Adam as, iblis dengan bongkak memohon kepada Allah:

‘Berikanlah aku peluang (umur panjang yang tidak akan mati sehingga hari kiamat)!’

Allah dengan sifat Al-Rahman-Nya mengabulkan: ‘Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh (tidak akan mati sampai hari kiamat).’

Iblis memohon lagi: ‘Kerana Engkau telah pun menghukum aku sebagai makhluk yang sesat, maka aku bersumpah akan sentiasa menghalang mereka (Bani Adam) daripada jalan Engkau yang lurus.’ (Surah Al-Araf: 14-16).

Ulama, termasuk Imam Al-Ghazali dalam kitab Minhaj Al-Abidin dan Ibn Athaillah Al-Skandari dalam kitabnya yang terkenal, Al-Hikam, memberikan garis panduan kepada manusia tentang cara melawan tipu daya syaitan.

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa penipuan syaitan menerusi tujuh cara. Beliau juga cuba mengemukakan cara-cara mengatasinya, iaitu:

Syaitan melarang manusia melakukan ketaatan kepada Allah.

Orang yang dipelihara Allah akan membantah larangan tersebut, dan berkata: ‘Aku sangat perlu sekali kepada pahala daripada Allah. Oleh kerana itu, aku mesti mempunyai bekalan daripada dunia untuk menjalani kehidupan akhirat yang kekal abadi.’

Syaitan mengajak manusia segera mengakhiri sesuatu ibadah dan ketaatan atau menghasut agar menangguh-nangguhkan waktu.

Orang yang dipelihara Allah akan menolaknya dengan berkata: ‘Ajalku bukan di tanganku. Jika aku menangguh kan amal soleh hari ini untuk dilakukan esok, maka bilakah masanya amal hari esok aku kerjakan, padahal setiap hari mempunyai amal masing-masing.’

Syaitan mendorong manusia supaya terburu-buru mengerjakan amal baik dengan mengatakan: Ayuhlah cepat-cepat beramal supaya engkau dapat memburu lagi amal lainnya.

Orang yang dijaga Allah tentu menolak dan berkata: ‘Sedikit tetapi sempurna dan istiqamah lebih baik daripada amal banyak tetapi tidak sempurna dan kurang istiqamah.’

Syaitan menyuruh manusia supaya mengerjakan amal baik dengan sempurna sebab kalau tidak sempurna, nanti akan dicela orang lain. Pada peringkat ini, syaitan cuba menanamkan rasa riak dalam hati manusia.

Orang-orang yang terpelihara tentu menolaknya dan akan berkata: ‘Bagi saya, cukup dinilai Allah sahaja dan tidak ada faedahnya beramal kerana ingin mendapatkan pujian manusia.’

Syaitan menanamkan rasa ujub (bermegah-megah) dalam hati orang yang beramal dengan membisikkan: ‘Betapa tingginya darjatmu kerana berjaya melakukan amal soleh dan betapa pula engkau cerdik dan bijak.’

Orang-orang yang baik dan diselamatkan Allah akan menjawab: ‘Sesungguh nya semua keagungan dan kesempurnaan itu kepunyaan Allah, ia bukan kekuatan atau kekuasaanku.

‘Allahlah yang memberikan taufik kepadaku untuk dapat mengerjakan amal yang Dia redai, dan memberikan ganjaran yang besar dengan kurnia-Nya.

‘Jika tanpa kurnia Allah, maka apalah harganya amalku ini dibandingkan dengan banyaknya nikmat Allah kepadaku, lagi pula dosa-dosaku sangat banyak.’

Setelah jalan kelima gagal, maka syaitan mengemukakan jalan keenam.

Jalan ini lebih hebat daripada yang sebelumnya, dan tidak akan dapat waspada terhadapnya kecuali orang yang cerdik dan hidup fikirannya.

Syaitan berkata, dengan membisikkan hasutan di hati manusia: ‘Bersungguh-sungguhlah engkau dalam melakukan amal secara sirr atau rahsia, jangan sampai diketahui manusia, sebab Allah jualah yang akan menzahirkan amalmu nanti terhadap manusia dan akan mengatakan bahawa engkau seorang hamba Allah yang ikhlas.’

Syaitan telah mencampur-baurkan setiap orang yang beramal soleh dengan amal tipu dayanya. Dengan hasutannya itu, syaitan bermaksud memasukkan sebahagian daripada penyakit riak yang sirr (tersembunyi dan sangat halus).

Orang-orang yang terpelihara oleh Allah akan menolak hasutan syaitan itu dengan mengatakan: ‘Hai malaun yang dilaknat, tiada henti-hentinya engkau menggodaku untuk merosakkan amalku dengan pelbagai cara, sekarang engkau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalku, padahal maksudmu untuk merosaknya.

‘Sesungguhnya aku ini hamba Allah yang hina dan lemah, bahkan Allah yang menjadikan aku. Kalau Allah berkehendak menzahirkan amalku atau menyembunyikannya dan kalau berkehendak menjadikan aku mulia atau hina, maka ini semua adalah urusan Allah.’

‘Aku tidak hairan atau gelisah sama ada amalku dilihat manusia atau tidak, kerana hal itu semua bukan urusan manusia.’

Terakhir, syaitan menggoda dengan mempengaruhi akidah dan keyakinan manusia terhadap ketentuan (qadak dan qadar) Allah.

Dalam hadis Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah bin Masud meriwayatkan:

‘Jika anak Adam ditiupkan roh pada usia 120 hari di dalam perut ibunya, maka Allah telah pun menetapkan empat perkara: rezekinya, umurnya, amalannya dan selamat atau binasanya…’

Bertolak dari sinilah syaitan membisikkan tipu dayanya kepada manusia dengan mengatakan segala tuah manusia sudah ditentukan, maka tiada gunanya dia berusaha mengubah nasibnya.

Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah tidak akan dimasukkan ke neraka dan pasti dimasukkan ke syurga (Surah Al-Tawbah). Bagaimanapun, masuknya seseorang ke syurga bukanlah kerana kekuatan amalnya, tetapi kerana janji Allah semata-mata, yang pasti benar dan suci.

Manusia akan terus diuji Allah tetapi syaitanlah yang membawa kehancurannya. Tujuh jawapan tersebut patut dijadikan perisai sebagai senjata menghadapi syaitan.

Kita mesti senantiasa beribadah dengan mengharapkan Allah melindungi kita daripada jerat syaitan. Apa jua yang berlaku dengan izin Allah dan kepada-Nya kita mohon petunjuk dan keredaan.

Nota: Penulis adalah Imam Masjid Abdul Aleem Siddique. Beliau sedang menyiapkan program kedoktoran di Universiti Malaya

http://cyberita.asia1.com.sg/

DI SEBALIK HARI ASYURA

January 26th, 2007 by admin | No Comments | Filed in The Book

Oleh
Sulaiman Jeem
Penulis Khas

PENENTUAN kalendar atau takwim amat persis dalam Islam.

Kalendar Islam disebut kiraan tertib 12 bulan (Qamariah).

Ini sejajar dengan firman-Nya: ‘Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah 12 bulan dalam kitab (ketetapan) Allah sejak pada hari Dia menjadikan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram (suci).’ (At-Taubah: 36)

Empat bulan haram atau suci itu ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.

Allah melarang melakukan peperangan dalam bulan-bulan tersebut.

Kaum Arab pada zaman jahiliah sudah pun memuliakan empat bulan tadi.

Setelah kedatangan Islam, amalan itu diteruskan dengan janji Allah swt yang melipatganda pahala mereka yang melakukan amalan tertentu dan menjauhi perbuatan dosa.

Detik hijrah Nabi saw dari Makkah ke Madinah sebenarnya berlaku pada 12 Rabiulawal. Tetapi memandangkan Muharam sebagai bulan pertama, maka ia dianggap sebagai bulan awal tahun sambutan tahun baru Islam.

Sempena tahun baru Hijrah, umat Islam sewajarnya turut menghayati ruh dan semangat hijrah.

Tetapi setelah kota Makkah ditakluk semula oleh Rasulullah saw pada tahun selepas hijrah, maka baginda saw telah bersabda, maksudnya:

‘Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada ialah hijrah dari segi niat (azam) dan jihad.’

Umat Islam digesa berjuang sebagai umat contoh demi meraih kebaikan hidup di dunia dan akhirat, seperti firman Allah:

‘Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.

‘Jika ahli Kitab beriman, tentulah ia lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.’

Hari ke-10 dalam bulan Muharam disebut Asyura yang mengandungi peringatan peristiwa-peristiwa besar seperti:

Allah menerima taubat Nabi Adam as kerana kesalahan memakan buah larangan di syurga.

Allah mengangkat Nabi Idris as ke tempat yang tinggi.

Allah menyelamatkan Nabi Ibrahim as daripada kekejaman Raja Namrud yang membakarnya hidup-hidup. Api telah padam dan baginda as keluar dengan selamat.

Allah mengeluarkan Nabi Yusuf as dari dalam penjara setelah di penjara beberapa tahun akibat fitnah Siti Zulaikha, isteri seorang pembesar Mesir.

Allah menyelamatkan Nabi Nuh as berserta para pengikutnya setelah terapung di atas banjir besar yang melanda dunia selama enam bulan.

Allah memulihkan penglihatan Nabi Ya’kub as setelah buta beberapa lama akibat banyak menangisi puteranya (Nabi Yusuf) yang hilang.

Nabi Yunus as dikeluarkan dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam. Allah menyelamatkan beliau setelah baginda banyak berzikir di dalam perut ikan itu.

Allah menyembuhkan penyakit Nabi Ayub as yang sekian lama dideritainya.

Allah selamatkan Nabi Musa as daripada dikejar Firaun dan bala tenteranya. Allah memerintahkan Nabi Musa mengetuk tongkat gembalanya sehingga terbelah Laut Merah - teredah jalan di dasar laut sehingga beliau dan pengikutnya selamat menyeberang. Sebaliknya Firaun dan tenteranya tenggelam di dalamnya.

Allah mengampunkan kesilapan Nabi Daud as.

Allah mengurniakan kerajaan yang besar kepada Nabi Sulaiman as.

Allah mengangkat Nabi Isa as ke langit sewaktu baginda dikejar puak pelampau Yahudi yang hendak membunuhnya.

Hari pertama Allah menjadikan Alam.

Hari pertama Allah menurunkan rahmat.

Hari pertama Allah menurunkan hujan.

Allah menjadikan malaikat Jibrail.

Ibnu Abbas ra berkata: ‘Apabila Nabi saw telah berhijrah ke Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura. Baginda bertanya: ‘Puasa apakah anda pada hari ini?’

‘Orang-orang Yahudi itu menjawab: ‘Hari ini hari besar. Pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan menenggelamkan Firaun bersama tenteranya. Maka Nabi Musa as telah berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah pada hari ini. Maka kami pun berpuasa’.’

Nabi saw menjawab: ‘Kamilah yang lebih berhak mengikuti jejak Nabi Musa daripada kamu sekalian.’ Lalu Rasulullah saw berpuasa dan menyuruh para sahabat berpuasa juga pada hari itu.

Berpuasa pada tanggal 10 Muharam amat besar fadilahnya kerana menurut sebuah hadis ia dapat ‘menghapuskan dosa setahun yang lalu’.

Digalakkan umat Islam yang sihat berpuasa pada 9 dan 10 Muharam atau 10 dan 11 Muharam. Usah berpuasa pada 10 Muharam saja kerana ia menyerupai amalan orang Yahudi.

http://cyberita.asia1.com.sg/